Ahmad Azam Bin abdullah Chik SIB180001

Pada 26 April hingga 28 April 2018, Program Sparking Curiosity ini telah dijalankan di SK 
Kampong Endah, Banting. 19 pelajar tahun pertama Sarjana Muda Sains (Sains Bahan) telah bekerjasama dan berganding bahu dalam menjayakan program ini bagi meluluskan diri dalam subjek Jalinan Masyarakat dan seramai 51 orang murid tahun lima terlibat dalam program ini.

Program Sparking Curiosity ialah program yang telah dibincangkan selama beberapa bulan dan berjaya direalisasikan oleh Dr Azzuliani Binti Supangat,pensyarah Jalinan Masyarakat bagi mahasiswa-mahasiswa Ijazah Sarjana Sains Bahan.Projek ini tidak mungkin akan berjaya sekiranya setiap ahli jawatan kuasa tidak memainkan peranan mereka. Oleh itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan saya kerana memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi dan memastikan projek ini berjalan dengan lancar.

Program ini bertujuan untuk menyemai rasa ingin tahu dan cinta terhadap dunia sains yang sentiasa berkembang mengikut peredaran masa. SK Kampong Endah, sekolah yang menjadi lokasi bagi program ini adalah satu sekolah yang terletak di Banting, Selangor. Sekolah ini agak jauh dari Universiti Malaya, kira-kira 88 km dan perjalanan mengambil masa selama lebih kurang 2 jam menaiki van yang berjaya diperolehi AJK Logistik (LC dan Naim) dan AJK Tajaan (Yani, Yasmin dan Saya). Satu pengalaman yang baru untuk melihat suasana yang begitu berbeza berbanding di Kuala Lumpur.

Sejujurnya, saya sangat fobia untuk mengawal budak-budak yang berumur 11 tahun kerana mereka mempunyai pelbagai kerenah dan kenakalan yang boleh membuat seseorang itu hilang sabar terhadap mereka,Namun itu lah cabaran yang saya perlu hadapi dan tempuhi. Bagi saya, mereka tidaklah senakal yang saya sangkakan dan tidak sukar untuk mengawal pergerakan mereka.Dan saya juga mengambil pendekatan dengan melayan mereka seperti kawan mereka  dan bukanlah melayan mereka seperti abang dan adik supaya mereka tidak kekok atau malu untuk berinteraksi bersama saya dan fasilitator yang lain. Walaupun semua eksperimen yang dikendalikan adalah daripada buku teks darjah lima, namun sukar untuk saya menjelaskan kepada mereka dengan bahasa melayu yang lebih mudah untuk mereka faham kerana saya lebih mudah menggunakan bahasa inggeris untuk menerangkan dan menjelaskan di dalam sains. Itulah cabaran yang saya perlu hadapi dan saya tetap berusaha untuk menerangkan dan menyelitkan info yang menarik kepada mereka supaya mereka lebih faham dan berminat terhadap subjek sains.

Walaupun program ini berasaskan sains dan eksperimen semata mata, kami tetap berusaha untuk menghiburkan mereka bagi mengelakkan mereka rasa bosan selama tiga hari kami bersama mereka iaitu dengan senamrobik, berlatih membuat persembahan untuk hari terakhir, menonton movie 'coco' dan pelbagai permainan di dalam kumpulan bagi memupuk semangat bekerjasama dan bertolak ansur di antara mereka. Dan saya dapat lihat mereka sangat gembira dan enjoy bersama kami dengan aktiviti yang kami sajikan selama tiga hari.

Bagi saya kenangan yang saya tidak boleh lupakan di Sk kampung endah ialah kami disajikan dengan pelbagai makanan yang sangat sedap dari pagi sampai ke malam sehingga kami tidak sempat untuk lapar selama tiga hari di sekolah tersebut. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada cikgu dan ibu bapa murid-murid SK Kampung Endah yang memberi layanan yang sangat baik kepada kami.

Justeru, saya selaku AJK tajaan tidak dapat melaksanakan tugasan ini dengan baik tanpa bantuan rakan-rakan sekelas saya yang sentiasa memberi sokongan dan idea kepada saya. Program ini juga secara tidak langsung mengukuhkan ukhuwah antara kami dan mengeratkan lagi silaturahim antara kami rakan sekelas walaupun kami berbeza bangsa dan agama. Akhir kata, pengalaman yang saya peroleh ini sangat berharga dan akan saya kenang sampai bila-bila. Saya juga berharap agar program ini akan diteruskan di masa akan datang.







Comments

Popular posts from this blog

Gisela Cesiora Millenova (SIB180702)

Yasmin Sabrina binti Izwan Shahrizan (SIB 180022)

SURAYA ANNISSA BINTI ROSLAN SIB180015