SURAYA ANNISSA BINTI ROSLAN SIB180015



SURAYA ANNISSA BINTI ROSLAN SIB180015



Pada 26 April 2019 sehingga 28 April 2019, saya dan rakan-rakan dari Fakulti Sains Universiti Malaya telah berjaya melaksanakan Program Sparking Curiosity yang bertempat di SK Kampong Endah, Morib, Banting. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tahun 5 SK Kampong Endah tentang Sains dan menarik minat mereka menggunakan kaedah pembelajaran 'Fun Learning'. Program ini bukan sahaja sejajar dengan Pembelajaran Abad ke-21, namun dapat memupuk sifat ingin tahu dalam diri pelajar yang kini kian pudar searus dengan era kemajuan teknologi.

Melalui program ini, terdapat banyak manfaat yang saya perolehi dan kelemahan yang saya perlu atasi. Antara manfaat yang telah saya peroleh ialah saya dapat meningkatkan keyakinan diri dalam berkomunikasi. Saya akui bahawa salah satu kelemahan terbesar saya sepanjang program ini adalah saya tidak mempunyai kemahiran bersosial terutamanya bersama kanak-kanak mahupun orang yang lebih tua. Untuk mengelak dari harus berinteraksi dengan yang lain, saya berpura-pura sibuk dan mengasingkan diri. Namun, kelemahan itu dapat saya atasi melalui program ini yang membenarkan saya berinteraksi bersama pelajar tahun 5 SK Kampong Endah dan guru-guru di sana. Tidak dinafikan saya masih kelihatan janggal sehingga ke penghujung program, namun keyakinan dalam diri saya untuk berkomunikasi sedikit sebanyak telah meningkat dan kini saya lebih yakin untuk bersosial. 

Saya tidak mempunyai pengalaman dalam mengurus atau mengendalikan majlis. Jejaknya saya ke Universiti Malaya hanyalah berbekalkan ilmu yang sedikit tentang protokol-protokol majlis dan cara-cara melaksanakannya yang telah saya pelajari dalam subjek Dinamika ketika menuntut di matrikulasi. Sepanjang program ini, ada waktunya saya agak hilang arah dan tidak tahu-menahu apa tugas saya sebagai setiausaha program. Namun, dengan bantuan rakan-rakan saya, saya dapat melaksanakan tugas saya dengan baik dan saya banyak belajar dengan lebih mendalam.  Program ini juga telah mengeratkan hubungan silaturahim di antara rakan-rakan saya yang dulunya kurang rapat dan jarang berbual. Buat pertama kalinya, saya berasa kami lebih mengenali satu sama lain.

Antara kelemahan program ini ialah kekangan masa untuk kami membuat perancangan dan komunikasi yang kurang berkesan. Mustahil jika tiada salah faham atau pertelingkahan berlaku sepanjang merancang dan menyusun atur progam ini kerana setiap seorang mempunyai khilaf masing-masing. Walaubagaimanapun, kami berjaya mengatasinya dan membentuk satu pasukan yang baik dan teguh. 

Saya bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada program ini. Banyak kenangan yang telah saya cipta bersama rakan-rakan, tidak hairanlah baik atau buruk, semua kenangan itulah yang membuat kami lebih rapat dan mesra. Program ini telah memberi kesedaran kepada saya bahawa memberi adalah lebih baik daripada menerima. Ilmu lebih baik dikongsi daripada disimpan. Pelajar tahun 5 SK Kampong Endah banyak mengingatkan saya akan diri saya yang dulunya juga dari sekolah luar bandar. Saya berharap pelajar SK Kampong Endah tidak berputus asa dalam mengejar cita-cita mereka kerana suatu ketika dahulu saya merupakan salah seorang daripada mereka ; bertubuh kecil tetapi mempunyai mimpi yang besar.

Comments

Popular posts from this blog

Gisela Cesiora Millenova (SIB180702)

Yasmin Sabrina binti Izwan Shahrizan (SIB 180022)